Isnin, November 3

“Apa Perlu Aku Hidup?”

Saat aku meneliti dari muka ke muka akhbar Metro Ahad tatkala singgah sejenak di Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam semalam, aku terpaku dengan satu soalan yang ditanyakan dalam segmen DANG SETIA yang bagi aku merupakan salah satu daripada wadah pembaca meluahkan perasaan dan geram. Bak kata Farah Fauzana dalam Melodi, layan.. zass..

SOALAN

SAYA dilahirkan sebagai budak miskin dan memiliki keluarga yang bagi saya sangat mengecewakan. Bapa saya seorang yang tidak berguna. Sukar untuk saya ceritakan perangai dan sifat pemalasnya.

Selama ini hidup kami susah disebabkan perangai bapa. Ibu yang terpaksa bekerja keras untuk menyara keluarga. Ibu juga dicemuh orang sekeliling disebabkan perangai bapa, juga kerana kami hidup miskin.

Namun di sebalik semua kekurangan itu, saya berjaya menjejakkan kaki ke universiti. Sekarang saya bekerja tapi tidak berjaya lagi mencapai cita-cita saya iaitu tahap kewangan yang stabil dan bekerja sendiri.

Saya anak sulung dalam keluarga dan kini menjadi tulang belakang keluarga untuk menyara ibu dan adik yang saya kasihi. Saya masih bujang dan berusia lewat 30-an.

Ketika menulis surat ini, saya tertekan dan kecewa kerana kerap menemui kegagalan dalam hidup untuk mengejar cita-cita saya. Banyak benda yang saya korban dan lepaskan.

Kadangkala saya rasa alangkah baiknya jika saya tidak pernah melihat dunia yang cacat ini. Alangkah baiknya jika saya tidak wujud dalam dunia ini.

Umpama tidur yang tiada mimpi, perasaan dan fikiran, sungguh menyenangkan. Kegagalan yang berulang-ulang tanpa ada kesudahan melemahkan keyakinan dan membosankan saya.

Ketika di sekolah menengah, saya minat pada seorang pelajar perempuan sekelas. Saya ada banyak peluang untuk mengenalinya dengan lebih dekat, tapi saya lepaskan peluang itu kerana rasa diri ini hodoh dan miskin.

Saya tidak mahu bercakap dengan budak perempuan sekelas, terutama yang saya minat. Ketika tingkatan dua, dia bertukar sekolah dan saya mula melupakannya.

Selepas lapan tahun, saya bersua kembali dengannya di universiti. Dia masih mengenali saya dan kami menjalin hubungan sebagai sahabat.

Saya kemudian memberanikan diri meluahkan perasaan cinta kepadanya, tapi dia menolak kerana ada pilihan lain iaitu pelajar lelaki lain yang turut meminatinya.

Saya tahu lelaki itu kacak, mungkin anak orang berada dan datang daripada keluarga yang baik. Saya rasa seperti dipermainkan Tuhan bila mengenangkan apa yang berlaku. Biarpun selepas empat tahun keluar daripada universiti, saya masih tidak dapat melupakan gadis itu.

Akibat peristiwa itu, saya berazam untuk bekerja keras dan mengatakan wang adalah segala-galanya dalam hidup, namun sehingga saat ini saya gagal memilikinya.

Saya ingin bertanya Dang Setia, jika Tuhan tidak beri apa yang kita suka, mengapa dia tunjuk benda itu. Bila kita sudah melupakan benda itu, Dia tunjuk tapi Dia tak beri.

Jika kita tak dapat sesuatu benda dengan alasan ada hikmah di sebaliknya, mengapa benda itu dapat kepada manusia lain yang sememangnya ada macam-macam nikmat hidup?

Saya ingin bertanya lagi, ada orang Tuhan beri rupa menarik disertakan juga kesenangan hidup, keluarga yang baik dan memiliki apa-apa yang disukainya dengan mudah. Andai kata mereka mati dan masuk syurga, bagaimana Tuhan dikatakan adil sebab mereka memiliki kedua-duanya, dunia dan syurga?

Bagaimana dengan orang yang tidak memiliki dunia ini sebab miskin, hodoh dan menderita sakit. Kalau masuk syurga pun, dunia mereka tak dapat berbanding manusia bertuah tadi.

Ya, semua manusia ada masalah, tapi puncanya berbeza. Ada yang berat dan ada yang ringan, ada yang cari sendiri masalah dan ada yang Tuhan beri masalah. Orang yang jadi masalah agama dan pakar kaunseling sekalipun, mereka tidak diberi ujian berat. Ada ke emak atau ayah mereka jadi pelacur atau penagih dadah? Dunia ini tidak adil!

Saya sungguh tidak puas hati dengan takdir dan dunia ini. Kalau boleh, saya nak semua manusia yang bertuah baca kisah saya. Saya sangat bencikan mereka. Saya bersumpah jika mereka ganggu hidup saya, saya akan ganggu dan menjahanamkan hidup mereka.

Dang Setia, jika anda boleh tolong, ceritakan pada saya bagaimana untuk kembalikan semangat hidup saya yang sudah lemah ini. Saya sudah putus asa dalam hidup. Tiada perkara menarik dalam hidup untuk saya hargai dan kenangkan. Semuanya menyedihkan dan benci untuk diingat.

MR BLOOD MONEY, Felda Lubuk Sireh, Perlis

JAWAPAN

Terlalu banyak perkara yang bersarang di fikiran Dang Setia dan ingin diluahkan bagi menjawab kenyataan serta persoalan saudara, namun Dang Setia tidak pasti adakah segala-galanya dapat dihuraikan dalam ruang yang terhad ini.

Masalah saudara memang serius kerana saudara mempertikaikan keadilan dan kuasa Allah. Ini sangat berbahaya. Jika cara pemikiran saudara tidak diubah, ia bermakna akidah saudara kepada Allah terjejas dan hukumnya adalah berdosa besar.

Persoalannya, mengapa saudara boleh menjadi begitu iaitu tergamak mempertikaikan keadilan dan kuasa Allah? Bagi Dang Setia, ia berpunca daripada kekurangan ilmu agama. Maaf jika saudara berasa tersinggung dengan kenyataan itu, namun bagi Dang setia itulah hakikatnya.

Memang benar saudara lulusan universiti, tapi mungkin di dada saudara sekadar dipenuhi ilmu dunia dan tidak dilengkapkan ilmu akhirat. Sering Dang Setia tekankan di ruangan ini mengenai kepentingan ilmu.

Kata bijak pandai, ilmu tanpa amal tak guna dan amal tanpa ilmu sia-sia, manakala orang yang tak berilmu dan tak beramal dianggap macam orang gila.

Apapun, yang lebih penting bukan sekadar memberi jawapan kepada persoalan itu, tapi menjadikan jawapan itu sebagai pencetus untuk memuhasabah diri dan pendorong untuk saudara berubah ke arah kebaikan.

Sebenarnya, jika saudara ada usaha untuk menambah ilmu dan pengetahuan agama, permasalahan yang membelenggu saudara serta kenyataan dan persoalan yang saudara timbulkan sudah tersedia jawapannya.

Bagi Dang Setia, tidak perlu kita menjadi ulama atau ustaz bagi merungkai permasalahan dan persoalan saudara, sebaliknya cukup dengan sifat iman dan takwa, keinsafan serta keyakinan akan keagungan Allah SWT.

Saudara melahirkan kekesalan dihidupkan di dunia kerana rupa hodoh, keluarga miskin dan ayah tidak bertanggungjawab. Ya, memang hebat penderitaan saudara, namun izinkan Dang Setia bertanya, adakah penderitaan saudara sehebat penderitaan dialami Rasulullah SAW dan sahabatnya?

Cuba saudara buka al-Quran atau baca sejarah Rasulullah. Takkan saudara tak tahu baginda membesar sebagai anak yatim piatu, buta huruf, bekerja sejak kecil sebagai penggembala kambing dan menerima pelbagai kekasaran serta ancaman daripada musuh Islam, termasuk diugut bunuh.

Adakah saudara merasai semua itu? Biarpun saudara memiliki ayah yang saudara sifatkan tidak berguna, bukankah saudara masih ada ibu yang bertanggungjawab membesarkan saudara sehingga mampu masuk ke universiti.

Adakah penderitaan saudara akibat cinta ditolak sehebat penderitaan Rasulullah yang hidup serba kekurangan dan nyawa sentiasa terancam atau penderitaan sahabat Rasulullah seperti Bilal bin Rabah yang diseksa sehingga mati demi mempertahankan keimanannya kepada Allah?

Mungkin tidak adil untuk membandingkan saudara dengan Rasulullah dan sahabat yang terlalu tinggi kehebatan mereka. Jadi, apa kata jika saudara melihat penderitaan rakyat negara mundur seperti di Habsyah atau Somalia yang sepanjang masa menderita kebuluran.

Sedarkan saudara, di negara berkenaan rakyat langsung tiada makanan untuk dimakan atau air untuk diminum. Hinggakan ada di kalangan mereka terpaksa makan rumput dan minum air kencing lembu. Pakaian pula hanya sehelai sepinggang dan tempat tinggal dalam pondok atau khemah.

Jadi, penderitaan siapa yang lebih teruk? Mereka atau saudara? Bukankah saudara masih cukup makan, minum, ada pakaian, tempat tinggal sehingga saudara masih terus dapat hidup di muka bumi sehingga hari ini, berbanding rakyat Habsyah dan Somalia yang kebanyakannya mati sebelum sempat berusia belasan tahun.

Masih tidak adil atau teruk sangatkah Allah, biarpun dia mengurniakan saudara ibu yang baik dan peluang belajar sehingga ke menara gading, sedangkan ramai lagi manusia yang merintih kerana tidak berpeluang menatap wajah ibu mereka serta terhalang cita-cita untuk ke universiti?

Saudara mengatakan tidak pernah mengecap kebahagiaan, tapi pernahkah saudara terfikir mengenai kesihatan saudara? Bukankah kemudahan untuk bernafas, makan, dan minum itu juga satu nikmat atau kebahagiaan daripada Allah yang wajib saudara syukuri.

Jika Allah tarik sedikit saja nikmat, umpamanya bermasalah untuk buang air besar atau kecil, itu sudah memadai untuk saudara tahu betapa berharganya dua nikmat itu.
Bercakap mengenai bahagia, saudara membuat kesilapan besar apabila merumuskan memiliki wang ringgit atau kekayaan akan membawa kebahagiaan.

Sebagai bukti, jika wang atau harta jaminan kebahagiaan, kenapa masih ada jutawan membunuh diri? Jika kebijaksanaan penentu kebahagiaan, kenapa ada manusia bergelar profesor atau hakim membunuh diri? Jika kemasyhuran punca kebahagiaan, kenapa ramai selebriti popular di Barat membunuh diri? Fikirkanlah perkara ini sedalam-dalamnya.

Sebagai contoh, tahukah saudara, ramai orang kaya yang sentiasa hidup gelisah kerana bimbang harta dicuri orang atau anak kena culik. Selebriti atau tokoh ternama yang gelisah atau rimas kerana gerak geri mereka sentiasa diperhatikan dan langsung tiada privasi.

Hakikatnya, jika kita beriman dan berilmu, kita akan tahu betapa kebahagiaan sebenarnya terletak pada ketenangan hati. Hanya hati yang tenang akan membuatkan hidup kita bahagia dan hati pula hanya akan tenang apabila kita melakukan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya.

Ini janji Allah dan kita tidak boleh meraguinya kerana Allah mencipta kita, jadi dia tahu apa yang baik serta apa yang buruk untuk kita. Contohnya, mungkin Allah tidak menjadikan saudara jutawan kerana Dia tahu kemewahan itu akan menyebabkan saudara lebih derita. Ini boleh berlaku, jika ada orang yang merompak harta saudara dan mencederakan saudara sehingga mengalami kecacatan kekal.

Mengenai persoalan saudara di manakah keadilan jika orang yang senang hidup di dunia dan masuk syurga bila mati berbanding orang susah di dunia dan mati nanti masuk syurga, jawapannya mudah saja iaitu orang yang susah berpeluang mendapat pahala jika mereka reda dengan kesusahan mereka serta tetap beriman pada Allah, sedangkan orang kaya tidak mendapat pahala itu.

Ini kerana, setiap kesabaran dan ketabahan kita menghadapi kesusahan hidup akan Allah anugerahi pahala di akhirat kelak. Ya, di akhirat... di situ sebenarnya matlamat kehidupan kita. Dunia ini hanya sementara dan ia cuma laluan untuk kita menuju kehidupan abadi di akhirat.

Justeru, tidak sepatutnya kita terlalu marah dan kecewa sehingga tergamak mempertikaikan Allah apabila tidak mengecap kebahagiaan di dunia atau apabila cinta ditolak seorang gadis yang kita minati. Ini kerana, tindakan sebegitu hanya menyebabkan kita turut menderita untuk tempoh lebih lama di akhirat.

Sebaliknya, jika kita reda dan tabah menghadapi ujian Allah yang hanya sementara sifatnya di dunia, kita akan mengecapi kebahagiaan sebenar iaitu selama-lamanya di akhirat.
Banyak lagi perkara yang ingin Dang Setia perkatakan, namun terhalang dek ruang yang terhad ini. Akhir kata, Dang Setia berharap saudara berusaha menambah ilmu Islam, jangan dengki atau buruk sangka pada orang lain serta Allah dan utama kesejahteraan di akhirat, bukan dunia.

p/s: Dalam hidup ini, jika kita terasa kita yang paling menderita, ingatlah, ada lagi yang lebih menderita dari kita. Dalam hidup ini, jika kita terasa kita paling tersiksa, ingatlah, ada lagi yang lebih tersiksa dari kita. Yang penting, carilah sumber yang betul untuk meluahkan perasaan dan berkongsi pendapat. Semoga kita semua terdorong ke arah melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Hidup mesti berani terima kenyataan, mental mesti kuat!

3 ulasan:

.:sanDORA:. berkata...

dora de baca artikel ni semalam..
yupp! mental mesti kuat.. hidup tetap perlu diteruskan camana pun..

Shida berkata...

Herm, I absolutely agree with Dang Setia. Kite will more appreciate our life bile kite deket padaNya.. Masing2 ada masalah masing2..Cuma cari kita hadapinyer yang berbeza. Setiap ketentuaNya mesti bersebab..

akimsensei berkata...

betul tu shida, sandora.. setuju with dang setia. seiring dan sejalan.

Related Posts with Thumbnails