Isnin, Mei 25

Akob kuampunkan segala dosamu terhadapku!

Page 563, Novel Rengsa, Penulis Zharulnizam Shah Z.A, Penerbit: Tintarona

Jenazah Akob telah ditutup dan pengusung perlahan-lahan diangkat ke muka pintu. Turut sama dalam kelompok orang ramai itu ialah Tuk Penghulu Leman. Imam Osman berdiri di muka pintu, dia ingin menyatakan sesuatu. Biasanya tugas itu dilakukan oleh Tuk Penghulu Leman.

"Assalamualaikum kepada semua yang hadir," Imam Osman mengawal sebak di dadanya.

"Tuan-tuan, seperti yang semua ketahui telah datang takdir Allah Taala untuk anak saya Yaakob. Dia telah kembali ke rahmatullah. Dalam kesempatan ini saya mengucapkan berbanyak terima kasih," Imam Osman menghela nafas sambil matanya memandang orang ramai yang memenuhi persekitaran halaman rumahnya.

"Sekiranya sepanjang hidup anak saya ada termakan dan terminum hak tuan-tuan maka saya minta dihalalkan. Sekiranya ada hutang yang belum dibayarnya dengan tuan-tuan, bolehlah tuan-tuan berjumpa terus dengan saya," ujar Imam Osman. Suasana hening seketika. Kepiluan menguasai suasana.

"Jenazah ini akan disembahyangkan di Masjid Jamek Lubuk Batu. Jasa baik tuan-tuan membantu menguruskan jenazah anak saya ini hanya Allah yang dapat membalasnya. Assalamualaikum," Imam Osman mengakhiri ucapan lazim sekiranya berlaku kematian di kampung mereka. Terdengar jawapan yang tidak senada daripada para hadirin.

Jenazah Akob diangkat oleh sepupunya dan ahli keluarga.

"Al-Faatihah," kesemuanya membaca serentak.

Van jenazah milik Jabatan Agama Islam Daerah Segamat sudah ternganga pintu belakangnya untuk membawa jenazah Akob ke Masjid Jamek Lubuk Batu dan seterusnya ke tanah perkuburan.

Di tanah perkuburan sudah ada lapan orang menunggu. Dalam kelompok itu termasuklah Budin yang sedari awal menghadirkan diri. Satu keberuntungan dia ke kedai Pak Yahya awal hari ini. Selepas sembahyang subuh di Masjid Lubuk Batu tadi, dia ke kedai Pak Yahya, itu pun bukan dengan niat untuk menunggu Mazlan tetapi disebabkan duit yang diberikan oleh arwah Akob masih ada, maka dia bercadang untuk bersarapan di sana. Cerita tentang pemergian Akob tersebar dengan cepat, dari mulut ke mulut. Pelbagai tafsiran. Ada yang mengatakan dia jatuh sendiri. Ada juga yang mengatakan terjatuh kerana lumba haram.

Dalam kesempatan ini juga Budin menziarahi pusara ibu dan ayahnya. Dia menangis tetapi tidaklah sehebat dahulu. Semakin matang dia mengawal dirinya. Lebih tenang berbanding dahulu....

Page 568, Novel Rengsa, Penulis Zharulnizam Shah Z.A, Penerbit: Tintarona

"Pelan-pelan," terdengar suara salah seorang yang mengangkat.
"Dah boleh terus turunkan?" tanya Imam Zakaria, iaitu Imam Masjid Jamek Gemereh.

Kebiasaannya yang membaca talkin untuk kematian di Kampung Lubuk Batu ialah Imam Osman. Kini dalam keadaan emosi yang kurang stabil, tugas itu diamanahkan kepada Imam Zakaria, sahabat baiknya. Masjid Jamek Gemereh dan Masjid Jamek Lubuk Batu bukanlah jauh sangat, hanya tujuh kilometer sahaja.

Kudin bergegas ke hadapan dalam kelompok orang ramai itu. Bujal hanya memerhati. Niatnya hanya satu, ingin membantu memasukkan jenazah Akob ke liang lahad. Namun hajatnya tidak kesampaian disebabkan waris terdekat Akob iaitu abang sulung dan sepupu-sepupunya sudah turun ke liang kubur. Jenazah Akob diturunkan dengan cermat.

"Buka semua tali yang ikat kapan!" arah Imam Zakaria, sambil memegang kitab kecil tertulis "Talkin".

Pak Mat Midi yang merupakan antara orang yang menggali kubur sudah membentuk tanah berbentuk bola. Kemudian tanah itu dihulurkan kepada abang sulung arwah Akob.

"Ciumkan pada hidung dia sikit!" arah Pak Mat Midi.

Kemudian papan penutup liang lahad dibawa turun dengan cermat.

"Timbus pelan-pelan, kamu tahan dengan ranting ini!" Pak Mat Midi menghulurkan ranting yang masih berdaun hijau. Ranting itu digunakan untuk menahan tanah sewaktu menimbus. Kemudian tiga orang pemuda mengais tanah yang berbukit di sekeliling lubang kubur untuk dikambus. Berderau bunyi tanah menimpa papan. Makin lama semakin tinggi lubang yang sedalam tujuh kaki itu tertimbus. Cikgu Ramli, iaitu abang arwah Akob sudah naik dari liang kubur. Kemudian dia membantu menimbus lubang, dan akhirnya sehingga sedikit tanah membukit. Salah seorang pemuda di situ sudah pun membentang tikar berdekatan kubur itu dalam kedudukan menghadap timbunan kubur yang masih merah.

"Dah boleh mula ya?" Imam Zakaria duduk bersila.

Turut sama di situ Imam Osman, Cikgu Ramli dan empat orang tua jemaah tetap di masjid.

Budin menghampiri kelompok orang ramai itu. Entah kenapa ada kesedihan merajai hatinya. Entah kenapa ada kesedihan merajai hatinya. Benar, Akoblah yang sering menampar kepalanya, mengkhadamkannya membasuh motosikal, memukulnya dengan teruk hanya kerana meletakkan hiasan bunga dalam kotak kaca di bilik Rubiah, namun kini segalanya seperti telah termaaf. Hakikatnya Akob telah kembali ke rahmatullah.

Pemberian wang sepuluh ringgit oleh Akob beberapa hari lalu masih berbaki kerana Pak Yahya hanya mengenakan separuh harga atas harga makanan yang dibelinya. Segalanya terlekat di ingatan. Akob pun telah meminta maaf kepadanya semasa memberikan wang tersebut. Air mata Budin berlinang. Akoblah yang meminta dia mendoakan agar menang dalam perlumbaan malam tadi. Budin sendiri pun tahu Akob berlumba dengan siapa.

Selepas al-Faatihah dibaca, selawat dan salam, dan sedikit ayat al-Quran tentang janji Allah berkaitan hal kematian, maka Imam Zakaria meneruskan tanggungjawabnya dengan tekun dan khusyuk. Bau kemboja dibawa angin tengah hari seperti menambah rencah lara. Bacaan diteruskan dengan berselang-seli ayat al-Quran dengan maknanya sekali. Ada juga ayat yang dibacakan dalam bahaa Melayu.

"Hai! Yaakob binti Fatimah, ketahuilah kamu telah keluar dari lapangan rumah dan kehidupan. Masuk ke dalam kubur yang gelap dan sempit. Sekarang kamu telah menjadi timbunan tanah bersama orang yang telah meninggal dunia."

Suara Imam Zakaria dapat didengar dengan jelas di persekitaran tanah wakaf ini. Suaranya hanya diganggu kenderaan yang sekali-sekala melewati jalan utama Segamat - Muar ini.

"Ya Allah jika Kau seksa akan dia adalah dengan sebab dosanya, dan jika Kau ampuni akan dia adalah dengan izin rahmatMu. Ya Allah Tuhan kami, bahawa Kau terkaya daripada mengazabnya dan kami sangat berhajat kepada rahmatMu."

Suasana hening. Imam Osman menundukkan wajah merenung tikar yang mengalas punggungnya. Sesungguhnya hanya Allah sahaja Maha Mengetahui apa yang terkandung di fikirannya ekoran kematian yang masih dalam siasatan polis ini. Berdustalah, jika dikatakan dia tidak terasa kesedihan ini. Cuma sebagai pemimpin agama di sini, dia harus tenang dan reda atas segala ketentuan.

"Ya! Allah Tuhan kami! Kurniakanlah pahala kebaikannya, syafaatilah jemaah kami kepadanya, ampunilah dosanya, luaskanlah liang kuburnya, lindungilah dia daripada azab, lepaskanlah dia daripada tiap-tiap yang menghalang ke syurga."

Imam Zakaria menghela nafas panjang. Orang yang hadir mendengar dengan khusyuk. Membawa bersama pelbagai perasaan. Semuanya akan melalui kematian.

"Tiada Tuhan yang disembah sebenar-benarnya melainkan Allah, Yang Maha Esa, tiada sekuti bagiNya, yang mempunyai kekuasaan, kebesaran, yang menghidupkan dan mematikan, yang hidup berkekalan tidak mati selama-lamanya. Allah Tuhan yang tiada permulaan dan tiada pengakhiran."

Air mata di pipi Budin semakin lebat menitik. Dia tercegat di bawah pohon kemboja sambil menundukkan muka.

"Di tanganNya punca kebajikan memperbuat sebarang kehendakNya, menguasai tiap-tiap sesuatu, bahawa pahala-pahala, amal-amal akan ditunaikan di hari kiamat. Barang siapa disisihkan daripada api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga adalah kejayaan yang besar. Kehidupan di dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya."

Imam Zakaria bersungguh-sungguh membaca kandungan teks kitab 'Talkin'. Nada bacaannya juga mengusik perasaan. Ada ketikanya dengan nada rendah yang memilukan, dan ada ketikanya pula tegas.

"Wahai hamba Allah Yaakob binti Fatimah!" Imam Zakaria menyeru tiga kali dengan nada yang semakin menaik.

"Ingatlah janji taat setiamu, bahawasanya kamu telah keluar dari dunia ini menuju ke akhirat, iaitu bahawa syahadah mengaku dengan lidah membenarkan dengan hati, bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad hambaNya dan pesuruhNya, baginda telah diutus membawa Islam sebagai agama yang benar sekalipun orang musyrikin bencikannya.

Tiga helai dedaun kemboja berguguran mengiring pilu, hiba dan keinsafan.

"Bahawasanya hidup dan mati itu benar, nikmat dan azab kubur benar, malaikat Munkar dan Nakir dan soalan kedua-duanya benar, titian siratulmustakim dan timbangan benar, tiap-tiap perkara yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW juga benar."

Terdengar suara beberapa orang berbisik menuruti sebutan SAW selepas Imam Zakaria menyebutkannya.

"Hari kiamat akan tiba, tidak syak Allah Taala akan membangkitkan orang yang mati dari dalam kubur..."

Imam Zakaria menyelak helaian kitab yang dipegang. Kemudian kain serban yang berjuntaian di bahu dilipatkan ke sebelah bahu kanan.

"Sekarang kamu telah menjadi timbunan tanah dalam kumpulan orang mati. Jika datang kepadamu dua malaikat yang diutus, janganlah kamu gentar, kerana kedua-duanya itu makhluk Allah juga."

Imam Zakaria menyeka peluh renik yang merembes di dahinya. Matahari semakin tinggi namun kewajipan ini mesti disempurnakan.

"Apabila kedua-duanya menyoal siapa Tuhan kamu, nabi kamu, apa agama kamu, imam kamu, kiblat kamu dan siapa saudara kamu?"

Saat ini tidak terdengar antara kelompok mereka yang hadir di sini berbicara. Semuanya mendengar dengan khusyuk dan penuh rasa keinsafan.

"Maka jawablah olehmu dengan lidahh yang fasih dan lancar bahawa Allah Tuhankku, Muhammad SAW nabiku, Islam agamaku, Quran imamku, Kaabah kiblatku dan orang Islam saudaraku."

"Katakanlah olehmu, aku redha Allah Tuhanku, Islam agamaku, Nabi Muhammad SAW Nabiku. Atas itulah kamu dimatikan. Dan atas itulah kamu dibangkitkan semula. InsyaAllah termasuklah engkau dalam golongan orang yang beriman."

Talkin diteruskan lagi oleh Imam Zakaria dengan membaca sepotong ayat al-Quran dan kemudian dibacakan maknanya.

"Ertinya: Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kamu kepada Tuhanmu dengan redha dan diredhai, masuklah ke kumpulan hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu."

Akhirnya talkin selesai dibaca. Untuk membaca doa terakhir Imam Zakaria memberi peluang kepada Imam Osman. Rasanya lebih afdal jika bapa si mati sendiri yang membacanya. Selepas segalanya selesai sehingga penutup, kumpulan orang ramai yang berkumpul tadi bertaburan meninggalkan tanah perkuburan. Nasib Akob tiada siapa yang tahu sama ada bahagia atau derita. Segalanya menjadi rahsia Allah.

Budin masih di bawah pohon kemboja yang paling hampir dengan pusara arwah Akob. Air matanya sudah berhenti mengalir. Hatinya berbisik sendiri, Akob kuampunkan segala dosamu terhadapku!

p/s: bila menyalin2 ayat2 ni, terbayang2 kat mata ni, tatkala kat kg Pongsu Seribu. Tatkala ada kematian time tidur, tabuh akan dibunyikan bila orang masjid dah tau ada yang meninggal. Kalau 7x tu means yang mati tu lelaki, kalau 5x means yang mati tu perempuan (xsure sangat). Then, dalam jam 10pagi, kitorang adik beradik akan tunggu orang usung jenazah lalu depan rumah. hmm.. insaf!

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails